10:04 AM

Sejarah Terengganu

Kredit kepada www.eterenganu.com

Semenanjung Tanah Melayu terletak di Kawasan pelayaran yang dikenali sebagai Laluan Sutera Maritim (Lampiran A) antara Negara Cina dan Timur Tengah dan laluan ini seringkali dilalui oleh kapal-kapal saudagar Cina, Arab, Parsi, dan India. Pada zaman silam, orang Cina belayar dengan berpandukan alat kompas yang telah dicipta pada Zaman Dinasti Qin sebelum Masihi. Manakala orang Arab pula belayar dengan berpandukan bintang-bintang di langit untuk mengetahui arah yang hendak ditujuinya. Terdapat beberapa buah catatan oleh penulis Cina ada menyebut mengenai nama dan perihal negeri-negeri lama di dalam buku yang berusia beribu tahun dahulu dan kini masih boleh dibaca dan difahami oleh kami semua. Buku-buku lama ini memberi banyak maklumat yang berharga dalam usaha mengkaji sejarah negara-negara lama di Semenanjung Melayu terutama Negeri Terengganu Darul Iman.

Catatan Cina yang paling awal ialah "Han Shu" 1 (Buku Dinasti Han yang ditulis Bangu). Nama tempat dinyatakan pada buku No.28 ialah Kua-Du-Kun (Kuala Dungun). Sebenarnya nama ini ada juga dinyatakan di dalam beberapa buah buku lain pada masa itu seperti "Wu Shi Why Kok Chuan" 2 (Kesan Negara Luar pada zaman Wu) "Fu Nam Yei Whu Chi" 3 (Catatan Barangan yang aneh di Funam), "Swee Chin Chuan" 4 (Kesan Swee Chin), "Pei Tang Shu Chow" 5 dan "Yee Wan Lui Chi" 6.

Pada zaman Dinasti Sui (581M - 618M) dan Dinasti Tang (618M - 907M) Negara lama Chih-Tu (Tanah Merah) di Kelantan, ada tercatat di dalam buku lama mengenai hubungan dengan Negara Cina pada zaman silam. "Chih Tu Kok Chuan" 7 (Hikayat Tanah Merah) mengandungi 1,700 perkataan yang menceritakan Negara Tanah Merah yang berjiran dengan Terengganu di Pantai Timur. Antara maklumatnya ialah mengenai lokasi, jarak pelayaran, masyarakat, sejarah ekonomi, kebudayaan alam sekitar, adat istiadat dan lain-lain dan catatannya agak menyeluruh pada zaman itu.

Buku-buku catatan di Zaman Dinasti Sui dan Dinasti Tang turut menyatakan mengenai Benua Terengganu yang boleh dibuat kajian. Antara buku-buku itu ialah "Sui Shu" 8 (Buku Dinasti Sui), "Tang Shu" 9 (Buku Dinasti Tang), "Tong Tain" 10 dan "Hikayat Tanah Merah" 7.

Pada zaman Dinasti Song dan Dinasti Yuan pula terdapat beberapa orang pengarang yang masyhur memberi maklumat secara lebih terperinci berkenaan dengan Benua Terengganu. Mereka adalah Chao Jukua11, Chau Chufei12, Chao Ganwai13, Tan Yuachan14, Chau Chichong15, Wang Tayuan16 dan lain-lain lagi. Pada masa itu Chao Jukua memegang jawatan penting iaitu Syahbandar Zaytun17 (Chuanchow). Beliau telah mengarang dan mencatatkan semua perkara di dalam bukunya "Chuan Fan Chi" 11 pada tahun 1225M. Penulis Chau Chufei12 mula menghasilkan bukunya yang bertajuk "Ling Wai Tai Ta"12, yang menyebut tentang nama Fo-Lo-Ann23 yang seringkali disebut dalam buku-buku lain .

Catatan yang paling sempurna telah ditulis oleh Wang Tayuan dalam dua naskah bukunya bernama "Dau Yi Zhi Lue" 16 (Catatan Tentang Pulau-Pulau Lama) dan "Dau Yi Zhi" 16 (Catatan Tambahan Tentang Pulau-Pulau Luar). Pada ketika itu, Wang Tayuan adalah seorang pemuda yang minat mengembara. Beliau telah dua kali pergi keluar Negara selama 18 tahun, dan dia mencatat banyak perkara yang dilihat sepanjang perjalanannya. Negara-negara yang dilawati ialah Semenanjung Melayu, Filipina, Borneo, Jawa, Sumatera, India, Parsi, Laut Merah dan Afrika Timur. Negara-negara yang dia jelajahi pada masa itu adalah lebih daripada 220 buah negara. Antaranya Wu-Zi-Ba18 (Melaka), Tamalin19 (Tembeling), Peng-Heng20 (Pahang), Ci-Lan-Tan21 (Kelantan), Ting-Jia-Lu22 (Terengganu), Fo-Lo-Ann23 (Kuala Berang), Pai-Jia24 (Paka) dan lain-lain.

Di samping itu, Artifak yang telah dijumpai di Terengganu memberi satu bukti yang kukuh sekali mengenai sejauhmana hubungan antara Terengganu dengan Negara Cina.

.

0 comments:

Terengganu Di Hatiku......negeri indah nan permai

Welcome to Terengganu Darul Iman....pearl of paradise